Wednesday, 13 March 2013

SEEKOR KUCING DAN HIGH TOUCH SEORANG GURU

Hasil Nukilan : Ustazah Nurul Huda Mohd. Bisri
JAPIM
( Disiarkan dalam Buletin Penyelidikan IPGKIK Bilangan 2, 2012 )

Banyak kita dengar mitos tentang kucing. Haiwan yang mempunyai sembilan nyawa, di  zaman Mesir kuno kucing ialah jelmaan dewa yang dipuja tetapi di Eropah kucing ini dianggap sebagai pembawa bencana. Itu mitos yang ditanggapi oleh masyarakat dunia namun secara faktanya, kucing ini ialah haiwan peliharaan seperti juga anjing, ikan dan lain-lain yang mampu untuk mengurangkan kadar tekanan perasaan yang dialami oleh pemiliknya. Di barat haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing ini digunakan sebagai alat bantu terapi “animal assisted therapy” atau “visiting pet” iaitu satu program di mana haiwan-haiwan itu membantu golongan pesakit dengan mengunjungi mereka di hospital atau di pusat-pusat jagaan.

Selain itu, pemilikan haiwan peliharaan  juga mampu mendidik pemiliknya rasa tanggungjawab dan kasih sayang terhadap makhluk lain serta menjadi platform awal untuk bergaul secara lebih sihat dengan masyarakat. Bahkan haiwan peliharaan ini mampu mengubah golongan pesalah juvana, bersikap empati dan belas kasihan atau bertimbang rasa terhadap orang lain.

Sifat-sifat yang mulia ini sekiranya dipupuk dengan baik dalam diri seorang guru semestinya memberi impak yang besar kerana sifat ini dapat disalurterapkan ke dalam jiwa generasi seterusnya. Kita sedar  fenomena masyarakat kini yang semakin hilang rasa sayang dan belas kasihan hatta terhadap sesama manusia. Oleh kerana itu para guru perlu terlebih dahulu membina dan memupuk perasaan sayang dan belas kasihan itu dalam diri mereka. Situasi ini selari dengan   konsep ‘high touch’ sebagai pendekatan terkini dalam pendidikan. Sifat kasih sayang dan belas kasihan ini merupakan nilai-nilai yang telah difokuskan di dalam Standard Guru Malaysia bagi meningkatkan amalan nilai profesionalisme keguruan.
 
Guru yang bersifat penyayang akan lebih prihatin keperluan anak-anak muridnya, akan lebih peka terhadap cara pembelajaran anak-anak didiknya. Kita renungi Rasulullah s.a.w, baginda seorang pendidik ulung yang dapat mendidik dan membangun jiwa para sahabatnya yang juga anak didiknya (Abu Ghuddah, 2009). Baginda seorang yang penyayang, sangat peduli dengan kehendak dan perubahan para sahabatnya. Rasullah s.a.w mempunyai ‘high touch’ yang tinggi, oleh kerana itu baginda amat disayangi oleh pengikut-pengikut baginda.  Apabila hubungan antara guru dan murid terjalin erat pastinya ilmu yang diajarkan dapat difahami dan dihayati dengan berkesan.
 
Kasih sayang Rasulullah s.a.w juga ditunjukkan terhadap makhluk Allah yang lain terutama kucing. Dalam satu hadis dalam riwayat at-Tirmizi,

“Wahai Anas, tuangkan air wudhuk untukku ke dalam bejana.” Lalu, Anas menuangkan air. Ketika Nabi menuju ke bejana tiba-tiba seekor kucing datang dan minum di bejana itu. Melihat itu, Nabi berhenti sehingga kucing tersebut berhenti minum barulah baginda berwudhuk. Nabi ditanya mengenai kejadian tersebut, beliau menjawab, “Ya Anas, kucing termasuk perhiasan rumah tangga, ia tidak dikotori sesuatu, bahkan tidak ada najis.”
 
Sifat mulia ini terjelma dari hati yang penuh kasih dan menghargai kewujudan makhluk lain. Menurut Imam al-Ghazali(Ahmad Mohd Salleh, 2008) akhlak itu ialah sifat jiwa yang mendorong atau melahirkan perbuatan tanpa sengaja atau bahasa yang lebih mudah ia berlaku secara spontan.  Menurut Justine Hankins (Our Character Reflected In Our Pets, 2005)
 
“Our love of our furry companions is often cited as evidence of depth of character”

Hubungan manusia-haiwan peliharaan dapat menggambarkan watak dalam diri seseorang. Manusia yang tidak suka akan haiwan peliharaan boleh dianggap tiada perasaan dan kurang sikap baik hati dalam diri.

Oleh itu sebagai guru dan pendidik, pupuklah sifat penyayang dan bertimbang rasa ini dengan memiliki haiwan peliharaan kerana ia bukan saja mampu meningkatkan ‘high touch’ dalam diri malah ia dapat meningkatkan tahap kesihatan emosi dan fizikal. Pastinya proses perpindahan ilmu itu akan lebih berkesan dan akan lebih dikasihi oleh anak-anak didik.


Rujukan

Abu Ghuddah, Abdul Fattah Al-Halabi Al-Suri. (2009). Rasulullah Pendidik Terulung. Seremban: Al-Azhar Media.
Ahmad Mohd Salleh, Mohd. Farid Hafidhz Ahmad. (2008). Islam Aganma Rabbani: Dasar Pendidikan Islam teras. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

James, B. (1990). Animal Rights. England: Wayland (Publishers)Limited.
Our Character Reflected In Our Pets. (2005, September 6). The Hindu Opinion .

http://animaltherapy.net (dimuat turun pada 4.10.2012)


http://www.hindu.com/2005/09/06/  (dimuat turun pada 4.10.2012)

No comments:

Post a Comment